‘Asam pedas patin tak berusik dalam periuk’

IPOH: Gerak hati seorang bapa berpatah balik ke kawasan bekas lombong di Kawasan Perindustrian Kanthan Baru 1, Kanthan Baru, dekat sini, semalam membawa kepada penemuan anak lelakinya yang dipercayai dibunuh ketika memancing.

Mayat Muhammad Azizul Roslan, 24, ditemui polis empat meter dari tebing lombong itu pada jam 12.20 tengah hari selepas bapanya, Roslan Salim, 64, membuat laporan polis menemui motosikal Yamaha Y15 dinaiki anaknya itu di lokasi berkenaan.

Roslan mengakui berasa tidak sedap hati sejak malam kelmarin apabila anak ketiga dari empat beradik itu tidak pulang ke rumah selepas keluar jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Beliau meminta anak sulungnya, Nur Azizah, 27, yang berada di Batang Kali, Selangor menghubungi telefon bimbit Muhammad Azizul sementara beliau keluar mengesan anak lelakinya di kawasan tempat memancing di Kanthan Baru.

“Saya cari di kawasan memancing dekat sempadan bukit tak jumpa, kemudian ketika nak keluar dari kawasan itu, saya ternampak kawasan kelapa sawit dan ada bekas lombong.

“Gerak hati saya kuat mengatakan anak saya memancing di situ.

“Ketika meninjau kawasan itu, saya menemui motosikal Yamaha Y15 dinaikinya namun tidak jumpa arwah.

“Kemudian, saya lihat joran digunakan arwah patah, barang-barang pancing bertaburan di tanah manakala beg pinggang mengandungi barang peribadinya hilang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Sebaik menemui motosikal milik anaknya, Roslan pulang ke rumah untuk mengambil isteri, Jamaiah Zabidin, 51, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kanthan Baru.

“Polis kemudian memaklumkan mayat anak saya ditemui di balik semak tidak jauh dari lokasi motosikalnya ditemui.

“Saya cam baju-T coklat dan seluar jeans pendek paras lutut yang dipakainya,” katanya.

Roslan berkata, Muhammad Azizul ada meminta ibunya memasak asam pedas patin untuk dibawa dan dimakan bersama rakan di tempat kerja.

“Isteri saya bangun awal untuk masak tapi bila dah berlaku semua ini, lauk diminta tak berusik dalam periuk,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pemeriksaan awal mendapati ada kesan jerutan pada leher mangsa, selain cedera di beberapa bahagian kepala dan lebam di mata kiri, pipi serta telinga kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

sumber

Facebook Comments