Polis hisap rokok di kedai makan berdepan tindakan

Tudiaa… arahan dah dikeluarkan. Barulah adil

POLIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang anggotanya yang melanggar larangan merokok di premis makanan hingga telah menjadi tular dalam media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata arahan telah diberikan kepada pengarah jabatan yang berkenaan untuk mengenal pasti anggota tersebut bagi membolehkan tindakan dibuat.

“Dia (individu terlibat) ialah anggota beruniform dan kerajaan telah menguatkuasakan larangan merokok. Larangan itu perlu dipatuhi semua pihak termasuklah para pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia.

“Jadi amat tidak beretika jika mereka melanggar perbuatan yang memang tidak boleh dilakukan di tempat terbuka (premis makanan) pada ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Isnin.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) bersama Ketua-Ketua JPJKK negeri di sini, mengulas mengenai penularan sebuah video semalam yang menunjukkan seorang anggota polis sedang memegang rokok ketika berada di sebuah premis makanan yang termasuk dalam kawasan larangan merokok.

Video berdurasi selama lapan saat itu dipercayai diambil di sebuah premis makanan yang terletak di Semenanjung Malaysia memandangkan terdapat notis larangan merokok ditampal di beberapa kawasan restoran itu.

Bermula 1 Januari lepas, kerajaan persekutuan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak masing-masing akan melaksanakannya mulai 1 Februari dan 1 Mac ini.

Sementara itu, Mohamad Fuzi menegaskan pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan persepsi rakyat yang masih tidak berpuas hati terhadap penurunan kadar jenayah yang diumumkan pihak PDRM.

“Kami bertungkus lumus berusaha turunkan kadar jenayah tetapi persepsi rakyat nampaknya belum… seolah-olah tidak yakin (dengan penurunan). Jadi kami sedang berusaha mempertingkatkan kemampuan kami untuk memperbaiki keadaan ini. Kami tidak berdiam diri, langkah-langkah telah pun diambil untuk mengatasinya,” kata beliau.

Antaranya termasuk memperkasakan lagi peranan pasukan tindakan khas siber sedia ada polis, dalam menangani persepsi negatif dalam media sosial, serta meningkatkan kerjasama dengan pihak awam dan swasta untuk menangkis persepsi sama.

“Kita kena faham dalam usaha pencegahan ini, kami tidak ada peruntukan khusus diberikan oleh kerajaan. Oleh itu, kami kena buat penglibatan dengan pihak awam dan swasta untuk membantu.

“Ini yang diusahakan di Kuala Lumpur. Kami sudah buat enam siri (keterlibatan), keenam-enam siri ini tiada bajet (peruntukan) namun kami gunakan pelbagai elemen untuk menjayakannya,” kata Mohamad Fuzi.

Ketua Polis Negara berkata penglibatan mereka bersama pihak pengurusan pusat membeli-belah Berjaya Times Square contohnya, berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan sekitar pada tahap yang membanggakan.

“Ada satu ketika, kami juga buat di KLCC dan kes penyeluk saku pun dapat dikurangkan sedangkan kes (berkenaan) pernah berada pada kadar membimbangkan pada tahun 2016. Ini bukan kami ‘syok’ sendiri. Ini berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh pihak terlibat,” kata Mohamad Fuzi. -Bernama

 

Facebook Comments