UiTM kekal untuk Melayu dan Bumiputera

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan kekal sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) khusus bagi orang Melayu dan Bumiputera, tegas Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Beliau berkata, dasar serta matlamat asal penubuhan UiTM masih relevan dengan keadaan semasa, malah ia terbukti berjaya mengimbangi kedudukan Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

“UiTM berjaya memberi impak besar kepada taraf sosial dan penyatuan bangsa Malaysia. UITM berjaya menyumbang kepada peningkatan ekuiti untuk menyatu padukan negara.

“Tiada keperluan ke arah itu (membuka UiTM kepada bukan Bumiputera. Dasar ini perlu dikekalkan kerana masih ramai dari pedalaman dan orang miskin yang memerlukan UiTM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UiTM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) di Bangunan Tuanku Syed Sirajuddin UiTM di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu; Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau mengulas cadangan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub, supaya kemasukan UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pasca siswazah bagi menjamin keseimbangan persaingan antara pelbagai kaum di negara ini

Arshad dipetik berkata, Malaysia kini berada di persimpangan sejarah yang berupaya menyaksikan laluan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi itu diperluaskan untuk bukan Bumiputera.

Arshad antara perintis yang menerajui penubuhan UiTM dilaporkan berkata, Melayu dan Bumiputera turut menyifatkan mahasiswa UiTM kurang terdedah kepada cara pemikiran di luar ruang lingkup budaya mereka sendiri.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, dakwaan penuntut UiTM hanya bersaing sesama sendiri adalah tidak tepat kerana mereka sentiasa didedahkan dengan pelbagai program di luar kampus.

“UiTM juga ada program mobiliti yang mana penuntutnya pergi ke IPT swasta… mereka ini belajar di IPT swasta untuk satu atau dua semester.

“Begitu juga dengan penuntut IPT lain dalam kalangan kaum lain, mereka boleh juga datang datang UiTM untuk belajar bagi tempoh beberapa semester,” katanya.

Sumber: Sumber

Facebook Comments