Siapakah Pewaris Syurga Firdaus?

Dalam ayat 10 dan 11, Surah Al-Mukminun, Allah s.w.t menjanjikan syurga Firdaus kepada orang-orang yang layak. Orang-orang ini bukan saja mewarisi syurga Firdaus tetapi juga akan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Persoalannya, siapakah mereka ini? Cirinya boleh dilihat pada ayat 2-9, surah yang sama.

1) Orang yang khusyuk dalam solatnya.

Kekhusyukan dalam solat merupakan kunci penting kepada solat kerana bila itu berlaku, ia memberi kesan luar biasa kepada sesiapa yang mendirikannya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 1-2, Surah Al-Mukminun, “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Khusyuk dari segi bahasa menurut Ibnu Faris rahimahullah ialah satu sumber yang merujuk tunduk atau merendah. Dari segi istilah, para sahabat dan salafus soleh memberi beberapa penafsiran berbeza tentang ini namun ianya saling melengkapi antara satu sama lain kerana sesetengah daripada mereka memberi tafsiran dari segi lahiriyah. Sementara sebahagian lagi memberi tafsir dari segi batin. Ibnu Abbas r.a berpandangan khusyuk ialah tenang dan merendahkan diri. Saidina Ali r.a berpandangan tidak menoleh kiri dan kanan manakala Hasan al-Basri dan Qatadah menafsirkan ia sebagai orang-orang yang takut.

Definisi khusyuk dalam solat menurut para ulama ialah perasaan tawaduk dalam hati ke hadapan Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib mengikut tafsir Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Sementara Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah berpandangan perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk dan tetapnya ia.

Untuk mendapat kekhusyukan dalam solat, ada beberapa cara:

a) Mengingati mati. Ini berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w, “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” (Riwayat Baihaqi)

b) Jangan tergesa-gesa semasa bersolat. Ini kerana bila mana kita tergesa-gesa melakukannya sehingga tidak ada thoma’ninah (ketenangan) semasa rukuk dan sujud, ia satu perbuatan yang ditegah Nabi s.a.w. Ini disokong oleh satu hadis, “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.” (Riwayat Bukhari)

c) Hayati makna bacaan dalam solat. Telitilah setiap bacaan solat kerana pada ketika itu, itulah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya dan Al-Quran itu sendiri merupakan Kalamullah.

d) Elakkan solat bila makanan sudah tersedia. Bila mana makanan sudah tersedia, makanlah terlebih dahulu untuk menghilangkan rasa lapar. Dan ini dinyatakan sendiri baginda dalam satu hadis, “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Riwayat Muslim)

e) Elakkan solat dalam keadaan menahan hajat (membuang air kecil dan besar) atau kentut. Jika perlu, selesaikan dulu hajat sebelum mengambil wuduk dan menunaikan solat. Makruh bagi seseorang itu bersolat dalam keadaan menahan hajat kerana ini boleh menyebabkan seseorang itu tidak fokus menurut syarah Imam Nawawi rahimahullah.

Berusahalah untuk khusyuk dalam menunaikan solat kerana ia menambah lagi pahala solat dan kesempurnaan dalam solat. Dan kerana kekhusyukan kita, kita sebenarnya memenuhi ciri pertama pewaris syurga Firdaus.

2. Mengelakkan perkataan buruk dan sia-sia.

Antara perkara yang menyebabkan kita mudah melakukan dosa ialah menyebut perkataan-perkataan kasar dan kotor, lebih-lebih lagi jika kita dalam keadaan tertekan atau marah. Begitu juga sekiranya kita suka benar menghina dan mengumpat orang lain tanpa mempedulikan sensitiviti orang sekeliling. Usahlah buat perkara sedemikian kerana terlalu banyak firman Allah s.w.t dan hadis Nabi s.a.w yang mengingatkan kita akan bahaya lidah dan mengapa kita perlu menjaganya sebaik mungkin.

Allah s.w.t berfirman dalam ayat 70-71, Surah Al-Ahzab, “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” Dalam ayat 16-18, Surah Qaf, Allah s.w.t berfirman, “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah meredhai kamu pada tiga perkara dan membenci kamu pada tiga perkara. Allah meredhai kamu bila kamu menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya, berpegang teguh kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan Allah membenci kamu bila berkata tanpa asas, banyak bertanya perkara yang tidak berfaedah dan mensia-siakan harta.” (Riwayat Muslim) Dalam satu hadis lain, seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Siapa Muslim yang paling baik?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Orang di mana orang lain merasa selamat daripada gangguan lisan dan tangannya.” (Riwayat Muslim)

Gunakan lidah dengan menyebut perkataan-perkataan yang baik atau memuji kebesaran-Nya. Jangan kerana lidah, kita jadi orang muflis di sisi-Nya pada hari akhirat kelak.

3. Orang yang menyucikan harta dengan berzakat.

Sesetengah daripada kita masih enggan berzakat kerana bimbang sekiranya mereka berzakat, ia akan mengurangkan harta mereka. Ada juga yang beralasan kesibukan menghalang mereka untuk menunaikan tanggungjawab ini. Alasan-alasan sebegini sebenarnya membuatkan kelompok ini bukan saja terlepas ganjaran berzakat tetapi juga berdepan bahaya kerana enggan membayar zakat.

Antara kelebihan orang berzakat termasuklah:

a) Allah gandakan lagi pahala orang tersebut. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 261, Surah Al-Baqarah, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

b) Salah satu tanda orang beriman. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 1-3, Surah An-Naml, “Taa, siin. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya), Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat.”

c) Harta orang berzakat makin bertambah. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Zakat itu tidak akan mengurangi harta.” (Riwayat Muslim) Para ulama mensyarahkan hadis tersebut berpandangan dengan zakat, Allah memelihara harta tersebut daripada kemudaratan dan gangguan manusia. Bahkan dengan zakat, Allah memberi ilham bagaimana harta tersebut dapat dimanfaatkan dan dikembangkan lagi kepada pemiliknya.

d) Zakat membersihkan hati daripada penyakit hati seperti hasad dan dendam. Sukar melahirkan masyarakat yang saling berkasih sayang dan tolong menolong antara satu sama lain sekiranya penyakit hati ini dibiarkan saja menjadi kanser dalam masyarakat. Dan ini telah dibuktikan menerusi perlaksanaan zakat dan membuktikan masyarakat penyayang bukanlah fantasi semata-mata. Ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah s.w.t dalam ayat 103, Surah At-Taubah, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawasanya setiap kalimah sedekah dalam Al-Quran lebih difahami dengan makna zakat yang wajib.

e) Zakat mewujudkan keamanan dalam negara. Sheikh Ali al-Jarjawi rahimahullah berpandangan kebanyakan bala atau musibah yang menimpa masyarakat dan negara kerana berlakunya pengabaian perlaksanaan zakat. Dan bila ini berlaku, ia turut mewujudkan natijah lebih parah seperti peningkatan kadar jenayah dan pertambahan bilangan penjenayah dalam penjara kerana harta dan kewangan.

Usahlah berkira dalam soal zakat ini. Ini kerana Allah mengancam golongan ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 180, Surah Ali Imran, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Nabi s.a.w turut mengingatkan golongan sebegini dengan satu hadis riwayat Muslim, “Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) maka dia akan dijadikan kepingan logam lalu dibakar dengan api neraka, kemudian diselarnya ke rusuk, dahi serta belakang mereka pada hari yang kadarnya ialah lima puluh ribu tahun sehingga diputuskan keadaannya di hadapan orang ramai, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka. Begitu juga kepada pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) maka pada hari kiamat binatang tersebut akan datang memijak-mijak dengan kaki dan juga menanduk-nanduk dengan tanduknya. Selepas dihukum, dikembalikan semula seperti mana mulanya sehinggalah Allah s.w.t menetapkan hukuman hamba-Nya pada hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun dari tahun yang kamu kirakan, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.”

4. Menjaga kehormatan dirinya.

Pada hari ini, cabaran untuk menjaga kehormatan diri begitu sukar terutama dengan kewujudan laman media sosial. Ada saja perkara yang bisa membuatkan nafsu bergelora. Salah percaturan, ia boleh mengheret kita ke kancah perzinaan. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ini, “Allah menetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti melakukan hal itu dengan tidak dimungkiri lagi. Zina mata adalah memandang, zina lisan adalah bicara, jiwa mengkhayal dan (akhirnya) kemaluan yang akan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari) Dalam satu hadis lain, baginda turut menambah perkara yang membawa kepada perzinaan, “Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang tidak mustahil dan pasti akan dijalaninya. Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah, dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan dilanjuti atau ditolak oleh kemaluan.” (Riwayat Muslim)

 

Facebook Comments