‘Cikgu, Buat Apa Tu, Saya Tolong Boleh?’ – Akhirnya Ramai Pakat Bantu, Strategi Cikgu Ini Menjadi!

Nak didik anak atau pun pelajar, tidak perlu jerit-jerit atau marah-marah. Kita sendiri perlu tunjukkan  contoh jika mahu mereka berubah, bahkan jauh lebih baik daripada leteran panjang yang membosankan.

Seperti mana kata-kata cikgu Mohd Fadli Salleh, melalui perkongsiannya di muka buku, “Mereka cuma perlukan seseorang untuk dijadikan teladan. Dan teladan terbaik di rumah ialah ibu bapa dan semestinya guru teladan di sekolah.”

Ikuti kisah menarik cikgu ini bersama murid-muridnya.

“Cikgu, cikgu buat apa tu?” Tegur seorang murid bila lihat aku sedang mengutip kasut di tengah padang.

“Cikgu tengah susun kasut yang berterabur kat padang ni,” balasku.

“Boleh saya tolong?”

“Meh la.”

Mulanya aku berdua. Murid lain yang lalu lalang tengok aku tengah menyusun kasut semua pakat berhenti.

“Cikgu, saya nak tolong juga boleh.”

“Saya pun nak tolong juga.”

Aku sengaja tak panggil murid suruh susun hari ini. Aku nak mereka memerhatikan melalui teladan. Dan ternyata ianya berjaya.

Lebih menarik, tanpa di suruh botol air pun disusun juga. Dan paling aku rasa terkesan, dah siap susun kat sebelah sini, mereka pusing satu padang mencari kasut yang berterabur untuk disusun.

Tanpa di suruh, tanpa aku teman, tanpa aku janjikan upah atau ganjaran. Sukarela mereka melakukannya.

Dan kejadian hari ini sebelum semua murid bersurai, aku ceritakan tentang perlunya sikap cermat dan menyusun kasut.

Murid yang membantu aku menyusun kasut menerima tepukan gemuruh dari kawan-kawan mereka.

Kadang-kadang, mereka bukannya tidak mahu buat. Mereka bukannya tidak pandai untuk cermat, teliti dan menyusun barangan.

Mereka cuma perlukan seseorang untuk dijadikan teladan. Dan teladan terbaik di rumah ialah ibubapa dan semestinya guru teladan di sekolah.

Kadangkala, tidak semua perkara kita perlu marah-marah. Kadangkala bukan semua benda kita perlu bertegas.

Kadangkala dengan menunjukkan contoh itu lebih baik dengan leteran panjang yang membosankan. Kan?

Pun begitu, tidak ramai yang menyenangi tindakan murni yang ditunjukkan oleh cikgu ini. Pelbagai kata tohmah yang dilemparkan, namun melalui perkongsian kedua di facebook milik beliau, cikgu Fadli tenang menjawab persoalan netizen.

“Beginilah. Kenapa takut nak sebarkan kebaikan? Kenapa perlu pertikai niat orang? Sesetengah amalan dan perbuatan memang perlu dizahirkan. Agar menjadi inspirasi, agar lebih ramai yang mengikut jejak langkah yang baik.”

Aku dah agak. Bila aku berkongsi aku kutip kasut murid dan susun, akan ada yang mengata aku nak menunjuk-nunjuk. Aku mengharap pujian. Aku nak tunjuk baik.

Kata mereka cikgu lain lagi banyak buat benda baik, lagi banyak pengorbanan namun tidak pernah nak war-war. Buat dalam diam dan ikhlas. Tak seperti aku yang menunjuk-nunjuk dan riak. Penat saja tak dapat pahala kata mereka.

Aku diam dan baca dalam senyuman sahaja komen begitu. Bukan kali pertama ada yang kata begitu setiap kali aku pos apa-apa. Aku dah lali dah.

Beginilah. Kenapa takut nak sebarkan kebaikan? Kenapa perlu pertikai niat orang? Sesetengah amalan dan perbuatan memang perlu dizahirkan. Agar menjadi inspirasi, agar lebih ramai yang mengikut jejak langkah yang baik.

Amalan yang disorok tu, biar Tuhan sahaja yang tahu dan nilai. Namun jika ada amalan dan kebaikan bilamana kita hebahkan, akan memberi inspirasi, akan menjadi ikutan, maka hebah sahaja.

Itu sejenis lubuk pahala juga. Orang lain turut berbuat kebaikan asbab inspirasi dari kita, mana mungkin Tuhan Yang Maha Pemurah tidak kurniakan pahala.

Yang terus berkata dan pertikaikan, biarkan sahaja. Biar sahaja. Biarlah mereka.

Usah dilawan hujah. Usah.

Diam itu lebih baik dan teruslah berkongsi kebaikan. Biar benda baik menjadi wabak dan merebak dalam masyarakat.

Alam maya dah terlalu tenat dengan perkongsian negatif. Perkongsian yang membawa ke arah kemungkaran. Perkongsian yang membawa kepada fitnah dan membawang (mengumpat).

Jika kita pun takut-takut nak berkongsi sedikit kebaikan hanya kerana risau kata-kata orang, ia satu kerugian besar pada warga Internet Citizen.

Ruginya kebaikan tak dapat disebar hanya kerana risau orang mengata.

Persetankan semua kata-kata mereka itu. Jalan terus sahaja.

Kerana sesuatu kebaikan tidak seharusnya disorok sahaja.

#MFS

– Silence is golden –

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @IslamikInfo

 

 

Sumber: GPS Bestari via Mohd Fadli Salleh

Facebook Comments