Tengku Ampuan Pahang Ke-6, Tunku Azizah Aminah Maimunah Berjiwa Rakyat 

Kenali Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Yang Berjiwa Rakyat…

Berikutan pengumuman pelantikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam baru-baru ini, nama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, DK., SSAP., SIMP., DK.(Johor)., SPMJ., PKC., PKT., PJK., kembali bermain di bibir rakyat jelata. Memiliki seraut wajah yang manis kewibawaan Sultanah berjiwa rakyat ini tidak boleh dipertikaikan.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang, pada istiadat khas yang akan diadakan di Istana Abu Bakar pada 29 Januari ini. Pemasyhuran ini bakal berlangsung selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Dalam majlis yang sama Sultan Pahang turut berkenan melantik putera sulungnya, Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terkenal dengan sikap ramah apabila berada bersama rakyat jelata. Baginda telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.

Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah pada bulan Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri:-

– Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.

– Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.

– Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Kegemaran Tengku Puan Pahang pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan. Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.

*Sumber: http://www.dirajapahang.my
Jangan Lupa Komen

Sumber :

Facebook Comments