Mengapa Kita Perlu Berdoa Dan Berharap Kepada Tuhan?

Sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda telah meninggalkan pesanan yang sangat penting buat umat manusia. Antaranya ialah tentang harapan.

أحسن الظن بالله

Yang bermaksud berbaik sangkalah dengan Allah. Hari ini kita melihat bahawa pesanan ini benar-benar kita perlukan, kerana semakin hari manusia semakin keliru dengan dunia dan hilang harapan dengan Allah. Cabaran yang kecil sahaja sudah mampu membuatkan ramai orang hilang arah, goyah iman, tertek4n, str3s yang akhirnya membawa kepada bermacam masalah lagi.

Untuk hidup di dunia ini, kita memerlukan pegangan yang kuat dengan Pencipta. Kerana hakikatnya kita, dunia ini dan seluruh isinya adalah ciptaan Allah, maka pasti lah Allah lebih mengetahui bagaimana ia seharusnya berfungsi.

Pernahkah hati kita berasa kosong sekalipun kita sudah ada segala-galanya – tempat tinggal yang baik, makanan yang cukup, pakaian yang cantik, keluarga yang bahagia – namun masih terasa ada yang kosong dalam diri, suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Saat ini jika kita jujur bertanya kepada diri sendiri, maka pasti hati kecil kita dapat memberikan jawapan yang sebenar kepada kekosongan yang kita rasa iaitu – hati kita kosong tanpa Dia.

Mungkin banyak solat yang telah ditinggalkan, kewajipan yang tidak ditunaikan, malah ditambah lagi dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang Allah. Hakikatnya, bukan Allah yang jauh daripada kita tetapi kita yang memilih untuk menjauhkan diri daripada Allah, hingga akhirnya kita keliru – apa sebenarnya yang kita cari di atas dunia ini?

Seseorang penulis buku pernah menukilkan perbualan ini – Seorang lelaki pernah bertanya:

“Adakah doa yang aku pohon dapat mendekatkan aku kepada Tuhan?”

Lalu dijawab rakannya,

“Tidak”

“Jadi, adakah doa yang aku pohon itu sia-sia?”

“Tidak, kerana Tuhan hakikatnya dekat meskipun tanpa doa-doa yang engkau pohonkan. Hanya saja doa itu membantu engkau untuk ‘melihat’ Dia dengan lebih jelas”

Allah pernah berfirman bahawa Allah sangat dekat dengan hamba-hambaNya, lebih daripada urat saraf kita. Namun jika kita tidak melakukan ibadah dan perintahnya, adakah kita benar-benar dapat merasakan bahawa Allah dekat dengan kita?

Setiap solat, doa dan ibadah yang kita lakukan bukanlah untuk Allah, tetapi untuk diri kita sendiri. Ia ibarat tali yang dapat menghubungkan kita dengan Allah. Janganlah sesekali hilang harapan daripada Allah. Sejauh mana pun kita pergi, masih ada jalan untuk kembali.

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @IslamikInfo

 

 

Sumber : Tazkirah.net

Facebook Comments