Al-Fatihah.. Imam Muda Miril Sudah Tiada

BEKAS peserta program Imam Muda musim pertama, Imam Muda Miril disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, 5.30 petang hari ini.

Miril atau nama sebenarnya Amiril Md Banin yang juga penceramah bebas meninggal dunia pada usia 33 tahun, meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun.

Adik arwah, Mohammad Sofian Tarman Md Banin ketika dihubungi Harian Metro berkata, abangnya dimasukkan ke hospital petang kelmarin selepas mengadu sakit kepala.

“Menurut kakak ipar, selepas pulang dari berceramah mereka sekeluarga merancang untuk pergi makan di sekitar Terengganu.“Namun, dalam perjalanan arwah mengadu sakit kepala dan rasa tidak sedap badan. Jadi, dia membatalkan perancangan itu.“Sampai di rumah, arwah minta kakak ipar menghubungi ambulans.“Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan berlaku pendarahan otak dan perlu dibedah,” katanya.

Sofian berkata, selepas menjalani pembedahan semalam, arwah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia petang hari ini.

“Insya-Allah, pagi esok jemaah surau akan mengadakan tahlil selepas solat Subuh di rumah bapa saya di Taman Seri Raya, Ampang.“Selepas itu, jenazah akan diletakkan di Surau Taman Sri Raya untuk penghormatan terakhir jiran, saudara mara dan rakan sebelum dimandi dan dikafankan.“Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai pada 11.30 pagi,” katanya.

VIDEO :

sumber : MyMetro

Facebook Comments