Risiko dan bahaya Fibroid di kalangan wanita, bagaimana anda boleh memahami gejala dan cara rawatan

Apakah itu Fibroid? Fibroid merupakan satu ketumbuhan tidak agresif yang dihidapi oleh golongan wanita. Punca penyakit fibroid masih menjadi tanda tanya dan pakar dalam bidang ginekologi menyatakan ia berkemungkinan berpunca dari bawaan genetik. Apa kata kita memahami fibroid melalui penerangan pakar sakit puan, Dr. Izzat 

Apa itu Fibroid?

Kredit : Twitter/ Dr. Izzat

Fibroid adalah sejenis ketumbuhan tidak berbahaya yang melibatkan dinding rahim. Ia juga dikenali sebagai leiomyoma. Ada pelbagai jenis fibroid, yang merangkumi saiz yang berbeza dan lokasi pada dinding rahim.

Walaupun ketumbuhan fibroid tidak berbahaya, perlu diketahui bahawa kurang daripada 1 peratus fibroid boleh bertukar menjadi kategori berbahaya yang dinamakan leiomyosarcoma.

Fibroid sangat biasa berlaku di kalangan wanita. Jangan terkejut apabila anda sedang melakukan imbasan, doktor anda akan ternampak fibroid. Kekerapan dalam 3 orang wanita yang diperiksa, seorang akan dikesan mengalami ketumbuhan fibroid.

Saiz fibroid boleh jadi kecil dengan beberapa milimeter sehingga kepada sebesar 10 sentimeter, dan ia dinamakan mengikut lokasi dikesan. Lazimnya fibroid tidak menimbulkan masalah dan kadangkala kewujudannya tidak disedari.

Kredit : Medical News Today

Sekiranya fibroid menimbulkan masalah, seseorang itu akan mengalami masalah kedatangan haid yang banyak dan senggugut. Seseorang itu akan berasa seperti terdapat ‘benda’ yang menekan bahagian pundi kencing dan rektum, sehingga menyebabkan rasa teringin membuang air kecil atau besar, tetapi tidak mengeluarkan apa-apa. Ada juga yang mengadu terasa sakit di bahagian ini.

Fibroid ini berlaku dan berkait rapat dengan hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron. Jadi apabila seseorang itu mengalami proses menopos atau putus haid, hormon-hormon ini tidak lagi dibekalkan menyebabkan saiz fibroid mengecut.

Akan tetapi, sekiranya wanita mengalami putus haid, dan saiz fibroid tidak mengecut dan semakin membesar dan bertambah, ia adalah satu petanda yang berbahaya kerana ia adalah jenis fibroid ‘leiomyosarcoma’.

Apa yang menyebabkan berlakunya Fibroid?

Kredit : Twitter/ Dr.Izzat

Punca sebenar berlakunya fibroid masih tidak diketahui dan para pakar masih menjalankan kajian untuk mengetahui puncanya.

Namun, banyak kajian membuktikan bahawa fibroid ini berkait rapat dengan hormon wanita. Terdapat juga perkaitan antara obesiti dan fibroid.

Mengapa obesiti menjadi salah satu punca? Ini kerana obesiti berkait dengan lemak degil yang terkumpul di dalam badan wanita yang juga mengandungi hormon estrogen dan progesteron. Hormon yang tersimpan dengan banyak bersama lemak akan menjadi punca fibroid terjadi. Jadi adalah mustahak bagi seorang wanita yang obes untuk menurunkan berat badan mereka.

Gejala-gejala Fibroid yang perlu anda dikenal pasti dan peka.

Semua gejala yang dinyatakan bukan spesifik kepada mereka yang menghidapi fibroid. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh membuat kesimpulan dan diagnosis sendiri apabila berasa telah mengalami tanda-tanda penyebab fibroid. Boleh jadi ia adalah tanda atau gejala penyakit lain juga.

1.Mengalami pendarahan haid yang luar biasa.

Anda mengalami kesakitan ketika datang haid atau datang bulan yang melampau sehingga tidak dapat melakukan aktiviti harian dan pekerjaan lalu terpaksa mengambil cuti sakit. Pendarahan haid pula amat luar biasa.

2.Perut menjadi buncit.

Mungkin anda menyangka ia adalah lemak yang terkumpul, tetapi sebenarnya ia adalah bengkak dari dalam rahim atau ovari. Mungkin ada yang menjadi takut dengan tanda ini, tetapi ia juga boleh menjadi punca makanan yang tidak dihadam dengan baik di dalam usus dan perut.

Kredit : Healty Life

3.Membuang air kecil dengan kerap

Anda berasa mahu terkencing dengan kerap. Baharu sahaja kencing tetapi mahu terkencing lagi. Ini kerana ketulan fibroid besar sedang menekan pundi kencing anda. Apabila anda pergi ke tandas, air kencing yang keluar hanya sedikit dan kadangkala ia tidak keluar langsung.

4.Sakit di bahagian bawah perut.

Walaupun bukan di waktu datang haid, anda mengalami rasa sakit di bahagian bawah perut. Ini disebabkan perubahan degeneratif pada fibroid yang telah menyebabkan kesakitan.

5.Sukar untuk hamil atau mengalami masalah kandungan ketika kehamilan.

Sekiranya anda disahkan hamil, ia tidak kekal lama dan ada wanita yang mengalami keguguran. Ini kerana ketumbuhan fibroid telah menganggu penempelan janin di dinding rahim, maka berlaku keguguran. Namun begitu bukan fibroid sahaja penyebabnya, boleh jadi atas sebab lain juga.

Bagi mereka yang sedang hamil, sekiranya terdapat fibroid di bahagian bawah rahim, ia boleh mengganggu pemusingan bayi di dalam rahim. Pusingan bayi akan diganggu seperti menjadi songsang atau melintang sehingga tidak dapat menurunkan kepalanya ke bawah.

Namun begitu, ketumbuhan fibroid itu boleh jadi bukan penyebab dan masalah kepada kandungan seorang wanita yang sedang hamil. Sekiranya seseorang itu mengalami ketumbuhan fibroid yang besar dengan jenis torsion (tergantung di luar rahim), ia boleh menyebabkan kesakitan.

Apakah cara rawatan dan mengatasi masalah Fibroid?

Kredit : Twitter / Dr. Izzat

Sekiranya seorang wanita itu dikesan mengalami fibroid, sebenarnya ia tidak berbahaya. Fibroid tidak menimbulkan apa-apa masalah sekiranya ia dikesan dengan ketumbuhan yang kecil, dan ia tidak memerlukan apa-apa rawatan. Biasanya fibroid akan mengecut dengan sendiri apabila seorang wanita itu mengalami menopos.

Terdapat pil hormon yang boleh anda dapatkan di farmasi, klinik sakit puan dan hospital. Namun begitu, sebelum mengambilnya, berbincang dengan doktor anda dan dapatkan preskripsi ubat dengan pengesahan doktor.

Pembedahan membuang fibroid adalah bagi kes yang amat serius sahaja, Terdapat dua jenis pembedahan iaitu membuang fibroid dan membiarkan rahim bagi mereka yang bercadang untuk mengandung. Namun begitu, sekiranya terdapat risiko pendarahan yang serius, akhirnya rahim terpaksa dibuang sebagai pilihan terakhir.

Kredit : fibroid.com

Bagi fibroid jenis berbahaya dan tidak mengalami pengecutan walaupun setelah seorang wanita itu mengalami menopos, pembedahan membuang fibroid akan dilakukan bersama pembuangan rahim.

Apabila satu ketumbuhan fibroid yang kecil dikesan, ia tidak langsung mengganggu kesuburan. Sekiranya seseorang itu mengalami kedatangan haid yang banyak dan serius, rawatan secara ‘hysteroscopy’ boleh dilakukan. Pembedahan itu bukan satu perkara yang mudah kerana ia selalu membawa risiko bersama pesakit.

Pembedahan membuang fibroid adalah satu rawatan dengan jalan pilihan terakhir kepada para pesakit.

Apa pun yang berlaku, dapatkan nasihat daripada doktor yang pakar di dalam bidangnya supaya anda boleh memahami dan menangani masalah kesihatan dengan baik.

Sumber : Twitter / Dr. IzzatSirap LimauGynecology/Facebookvia Era Baru

Facebook Comments